LAMAN WEB RASMI
SMK BANDAR SUNGAI PETANI

Nobody Fails !!

WAWANCARA BERSAMA YANG DIPERTUA  SMK BANDAR SUNGAI PETANI

LATAR BELAKANG AKADEMIK


Bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor yang ditubuhkan pada tahun 1826 yang merupakan sekolah Melayu yang pertama dan merupakan sekolah ke 2 di Malaysia selepas Penang Free School (1816)


Kemudian menyambung pendidikan peringkat sekolah menengah di Sekolah Menengah Glugor (1969) sehingga ke Tingkatan 5 dan kemudian ke Sekolah Abdullah Mushi Pulau Pinang untuk kelas Tingkatan 6. Selepas itu melanjutkan pelajaran di peringkat universiti di Institut Teknologi Mara Shah Alam dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dengan kepujian.


LATAR BELAKANG KELUARGA


Anak yang ke 9 daripada 10 orang adik-beradik dan ayah merupakan seorang nelayan dan ibu seorang peniaga kuih-muih. Semua 7 orang adik beradik berkhidmat dengan kerajaan atau separa kerajaan dan 3 orang bekerja swasta dan beliau  adalah satu-satunya peguam dalam keluarga.


APAKAH PANDANGAN PERTAMA YDP TERHADAP SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN BANDAR SUNGAI PETANI ?


Pada tahun 2014 kali pertama saya menghantar anak saya mendaftar ke sekolah ini dan dari luaran saya nampak sekolah ini bersih dan teratur dan pada tahun 2014 saya menganjurkan satu pertandingan catur di sekolah dan pada tahun itulah  saya berjumpa secara peribadi dengan Pengetua dan dapat secara sedikit sebanyak memerhati keadaan sekeliling yang tersusun dan penuh dengan pelbagai kemudahan.


SETELAH MENGETUAI ORGANISASI PIBG


Setelah hampir 4 penggal berada dalam organisasi ini saya lebih memahami masalah yang dihadapi oleh pihak pentadbiran sekolah antaranya pelbagai program yang perlu dilaksanakan dan memerlukan kos yang banyak, serta harapan yang begitu tinggi oleh ibubapa terhadap pencapaian anak-anak dan pada masa yang sama terdapat ibubapa yang masih “liat” untuk menjelaskan yuran sekolah.


Terdapat juga ibubapa yang bertindak “menyerang” pentadbiran sekolah tanpa terlebih dahulu menyiasat secara menyeluruh tetapi sebaliknya hanya mendengar aduan anak-anak . Saya percaya banyak perkara remeh boleh diselesaikan antara ibubapa dan pentadbiran sekolah melalui diplomasi tetapi sebaliknya cara jalanan yang digemari oleh segelintir ibu bapa.


BAGAIMANA PENILAIAN TUAN HAJI TERHADAP KOMITMEN GURU DALAM MENINGKATKAN TAHAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (P & P) ?


Sebenarnya amat sukar untuk membuat penilaian terhadap komitmen guru dalam perkara ini kerana penilaian hanya boleh dilakukan sekiranya terdapat perbandingan semasa. Walau bagaimanapun jika dibandingkan dengan tahap semasa saya sendiri menjadi pelajar, komitmen guru-guru di sekolah ini adalah luar biasa mengikut skala saya sebagai seorang peguam.


Secara jujur saya katakan gaji yang diterima oleh guru-guru adalah tidak sepadan dengan tenaga , masa serta usaha yang dicurahkan oleh mereka untuk memastikan anak didik menjadi insan yang berguna. Bukanlah mendapat berbelas-belas A itu semata-mata satu ukuran pencapaian yang digunapakai, kerana anak didik yang walaupun tidak pandai tetapi keluar ke dalam masyarakat sebagai insan yang berbudi pekerti mulia, amanah, jujur dan rajin berusaha, itulah yang lebih dipandang oleh masyarakat.


Komitmen guru-guru bagi memastikan matlamat ini tercapai bukan sahaja sebaik matahari naik malah sebelum itu lagi dan bukan terhenti selepas matahari jatuh malahan sehinggalah bulan timbul guru-guru masih lagi bersama anak didik mereka, sehingga terkadang anak-anak di rumah akan terasa irihati melihatkan perhatian terhadap mereka berkurangan kerana sebahagian besarnya tercurah kepada anak didik mereka di sekolah.


BAGAIMANA PENILAIAN TUAN TERHADAP TAHAP DISIPLIN PELAJAR ?


Semasa setiap pelajar berada di sekolah guru-guru adalah ibu bapa mereka sebagai pengganti ibubapa di rumah. Dalam agama Islam diajar kepada kita untuk menghormati guru sehinggalah apabila guru berada di hadapan dan sedang bercakap maka pelajar perlu diam mendengar ilmu yang diturunkan.


Tetapi dengan perubahan zaman tahap disiplin ini semakin kekurangan dan tahap menghormati guru seperti yang diajarkan oleh agama kurang dilaksanakan oleh pelajar-pelajar di sekolah ini. Saya beberapa kali memerhatikan pelajar yang merosakkan kemudahan yang disediakan sedangkan tiada satu sen pun wang  mereka keluar untuk kemudahan ini.


PIBG sering dimaklumkan dengan kerosakan yang dilakukan di dalam tandas, merosakkan papan-papan kenyataan dan kerusi meja di dalam bilik darjah, kerusi kuliah di dewan dan contengan di dinding dan pelbagai lagi yang kekadang perbuatan ini membawa anggapan bahawa pelajar ini dengan sendiri menurunkan maruah dirinya ke tahap mentaliti yang terlalu rendah untuk dikategorikan sebagai pelajar sekolah menengah yang sepatutnya lebih matang.


Terdapat pelajar yang bergaduh setiap kali berada di luar kawasan sekolah sehingga membawa kepada konsep gangsterism dan perbuatan ini tidak memberi sebarang faedah kepada yang menang apatah lagi kepada yang kalah dalam pergaduhan tersebut. Sekiranya seorang pelajar merasa dia kuat pasti akan ada yang lebih kuat dan akhirnya semua yang terlibat rugi termasuk ibubapa mereka sendiri.


Satu lagi tabiat yang tidak berfaedah pelajar adalah merokok dan ini berkemungkinan teladan dari rumah dan tidak kurang juga teladan dari guru-guru yang kurang peka bahawa mereka sendiri perlu mengubah diri sebelum menasihati pelajar kerkenaan isu merokok ini. Secara ringkas tahap disiplin pelajar sekolah ini perlu diberi perhatian lebih serius.


BAGAIMANA TUAN MELIHAT PIBG DAPAT MEMBERIKAN SUMBANGAN KEARAH PERMAUFAKATAN DALAM PENDIDIKAN ?


Dalam sejarah peradaban manusia kebanyakkan perkara buruk berlaku kerana kurang faham dengan budaya dan agama sesuatu kaum . Apabila perkara begini terjadi maka setiap aktiviti keagamaan akan di pandang serong dan pelbagai andaian negatif timbul. Bagi saya sekiranya semua pihak faham mengapa sesuatu aktiviti keagamaan dijalankan oleh kaum tertentu maka tidak timbul sebarang syak kepada mereka .


Contohnya Islam, di dalam Al Quran sendiri di dalam surah Al Baqarah (2) ayat 256 Allah berfirman bermaksud Tidak ada paksaan dalam Islam”. Sekiranya semua bangsa dan agama faham ajaran ini maka tidak timbul sebarang masalah bahawa ada percubaan untuk mengislamkan mana-mana pelajar bukan Islam. Islam adalah agama Tuhan yang satu untuk semua manusia tidak kira apa bangsa dan apa warna kulit dan Islam juga bukan untuk orang Arab semata-mata.


Walaupun Nabi Muhammad SAW adalah berbangsa Arab tetapi oleh kerana tiada paksaan dalam Islam maka sekarang ini masih terdapat 10 juta bangsa Arab yang masih beragama Kristian. Saya lebih suka diadakan dialog antara ibubapa yang merasa bimbang dengan perkara ini agar lebih mendalam pemahaman mereka terhadap Islam dan dengan mendalamnya pemahaman maka tiada lagi syak.


Apabila pemahaman semakin tinggi bermakna permaufakatan juga akan lebih erat dan secara tidak lansung pendidikan anak-anak akan meningkat kerana tumpuan penuh dapat diberikan kepada meraka.


SEPANJANG TUAN MENJADI YDP, APAKAH ISU-ISU BESAR YANG DIHADAPI ?


    Sebenarnya banyak isu-isu yang saya hadapi sebaik sahaja memegang jawatan ini. Saya ditentang di dalam mesyuarat AJK kerana membuat dasar-dasar baru di dalam organisasi ini terutama sekali melibatkan wang PIBG. Saya berpendapat setiap sen wang yang ada adalah untuk manfaat pelajar walaupun sekecil mana dan bagi merialisasikan dasar ini saya telah menolak permohonan semua pihak untuk mendapatkan sumbangan bagi upacara keagamaan dan saya meminta pihak-pihak tersebut mencari dana melalui usaha sendiri.


    Dasar ini sudah tentu mendapat tentangan pihak yang sudah sekian lama merasai nikmat ini dan bagi saya secara peribadi ibubapa perlu terlibat sama dalam menyumbangkan dana bagi acara keagamaan ini. Setiap pemimpin ada dasar mereka yang tersendiri dan dasar ini perlu dihormati kerana pemimpin dilantik oleh suara majoriti.


    Perkara kedua yang saya rombak adalah kegunaan wang PIBG untuk jamuan makan tidak kira samada oleh guru-guru ataupun untuk menjamu ibubapa sendiri. Walaupun saya faham sukar untuk tidak membenarkan wang PIBG keluar untuk tujuan ini saya berjaya mengurangkan penggunaannya samada melalui pengurangan budget atau pun saya keluarkan wang saya sendiri dengan niat bersedekah.


    Isu keagamaan adalah isu terbesar bagi saya sepanjang memegang jawatan ini dan seperti yang saya nyatakan di sini pemahaman adalah penting dan dialog secara aman adalah resolusi terbaik.


    Terdapat juga isu penggunaan Bahasa Melayu dalam pembelajaran Sains dan matematik dan perubahan ini dikatakan dilakukan terlalu awal oleh pihak sekolah yang menjadi pertikaian waris. Perkara ini bukan sahaja mendapat protes satu kaum tertentu malahan waris semua kaum meluahkan rasa tidak puashati ini.


    Tetapi saya percaya pihak pentadbiran sekolah telah mengambil kira segala aspek serta penekanan sewajarnya dalam penggunaan Bahasa Melayu yang mana ia perlu dilaksanakan segera dan sudah semestinyalah setiap keputusan yang diambil pasti ada pihak yang akan membantah.


    BAGAIMANA TUAN MENANGANI SETIAP ISU YANG TIMBUL  ?


    Saya sebenarnya seorang yang tegas dan bagi sesetengah orang ada yang mengatakan saya terlalu tegas. Tetapi bagi saya untuk mengendalikan satu organisasi, seseorang pemimpin perlu ada ketegasan dan tidak boleh menjadi “flip-flop” ataupun dalam Bahasa Melayunya menjadi seperti daun lalang.


    Dalam menangani isu-isu di atas saya tetap bertegas walaupun ada segelintir AJK yang tidak selari dengan pendirian saya dan bertindak menolak perlantikan semula sebagai AJK. Terdapat juga waris pelajar yang menelefon saya dan ada yang datang ke pejabat meluahkan rasa tidak puashati dengan apa yang berlaku. Bagi saya sekiranya apa yang dilakukan oleh pentadbiran sekolah adalah untuk manfaat majoriti dan bukannya untuk segelintir minoriti maka golongan majoriti diutamakan.


    Bagi isu pengunaan bahasa Melayu menggantikan bahasa Inggeris ini saya berpendapat pihak yang membantah kebanyakkannya adalah dari anak-anak yang berada di dalam kelas pelajar pandai, maka mereka ini umpama permata yang jika digilap akan bersinar dan jika tidak digilap pun akan kekal berharga sebagai permata .


    Tetapi ramai pelajar lain yang pemahaman bahasa Inggeris mereka agak lemah dan jika kita tunggu lebih lama untuk melaksanakan penggunaan perubahan bahasa ini maka tidak mustahil mereka akan tertinggal lebih jauh ke belakang. Jurang ini perlu didekatkan dan masa memainkan peranan yang penting.



    BAGAIMANA KERJASAMA DI KALANGAN PIHAK PENTADBIR SEKOLAH ?


    Setakat ini Alhamdulillah kerjasama yang diberikan oleh pihak pentadbiran sekolah adalah diluar jangkaan sehingga adakalanya saya sendiri merasa malu dengan komitmen saya yang tidak seberapa jika dibandingkan dengan komitmen pihak pentadbiran sekolah.



    BAGAIMANA KERJASAMA DI KALANGAN AJK PIBG SENDIRI


    Pada tahap awal saya mendapat sedikit kesukaran kerana tentangan yang dihadapi tetapi Alhamdulillah sekarang semuanya berjalan lancar dengan kerjasama yang lebih erat dan tersusun.



    PIBG SERING DI ANGGAP SEBAGAI ORGANISASI YANG MENGHADKAN KEBEBASAN PIHAK SEKOLAH. KOMEN SEDIKIT.


    Kebebasan adalah satu terma yang terlalu luas untuk saya komen kerana kebebasan dalam kontex apa yang dimaksudkan di sini. Sekiranya kebebasan dalam mentadbir sekolah dan pelajar saya percaya PIBG tidak ada hak untuk campurtangan kerana tiada kuasa diberikan untuk tujuan itu .


    Tetapi sekiranya kebebasan dalam menggunakan wang PIBG secara bebas tanpa sekatan sudah semestinya akan ada “check and balance” untuk memastikan penggunaan dana tersebut mencapai sasar kepada siapa wang itu disediakan. Setakat ini semua pihak perlu faham bahawa PIBG adalah satu organisasi yang tidak memiliki entiti untuk bertindak atas namanya sendiri. Ia adalah satu organisasi yang ditubuhkan semata-mata untuk membantu pihak pentadbiran sekolah dalam urusan ibubapa dan pihak sekolah dan bukannya menentukan perjalanan pentadbiran ataupun membuat dasar sekolah.



    BANYAK SUMBANGAN PERIBADI YANG DIBERIKAN KEPADA PIHAK SEKOLAH. APAKAH YANG MENDORONG TUAN HAJI YAHAYA MEMBUAT SUMBANGAN TERSEBUT.


    Ini sebenarnya satu soalan yang paling sukar untuk dijawab dan sebenarnya tidak memadai dijawab dalam beberapa helai kertas semata-mata.


    Dalam Al Quran surah Ad Dhariyat (51) ayat 56 Allah berfirman bermaksud “ Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”


    Konsep ibadat dalam Islam ialah sekecil-kecil memberi senyuman dan sebesar-sebesar mati syahid dan di antara keduanya tidak terkira banyaknya ibadah yang boleh kita lakukan.


    Adalah menjadi tabiat manusia berlumba-lumba mencari harta kekayaan dan berbangga dengannya. Allah di dalam surah At Takathur (102) ayat 1 Allah berfirman bermaksud “Kamu dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak pinak, pangkat, pengaruh dan kuasa)” ayat 2 Allah berfirman bermaksud sehingga kamu masuk kubur


    Kubur adalah destinasi pertama yang perlu dilalui oleh setiap yang bernyawa dalam perjalanan menuju ke syurga atau neraka , samada kuburnya dapat dilihat ataupun kuburnya tersembunyi. Tetapi perbincangan tentang kubur amat tidak mendapat perhatian walaupun kematian itu adalah satu kepastian.


    Persoalan di sini ialah sejauh mana kita bersedia untuk masuk kubur ? Adakah dengan mengumpul harta sebanyak yang boleh akan menjamin kita semasa dihadapkan di hadapan Allah ? Sedangkan Rasullullah pernah bersabda ujian yang paling berat bagi umatku adalah ujian harta kekayaan. Sesungguhnya ramai dari umat Nabi Muhammad SAW yang gagal dalam mengharungi ujian ini


    Jika soalan yang ditanya apa yang mendorong saya untuk membuat sumbangan, kematian inilah dorongan yang utama kerana setiap kita akan mati dan Rasullullah bersabda “apabila matinya anak Adam maka terputuslah segala amal melainkan 3 perkara iaitu ilmu bermanfaat yang diajarkan, sedekah jariah dan anak yang soleh”. Untuk mengajarkan ilmu yang bermanfaat, berapa ramai daripada kita yang berilmu tinggi ? Untuk mengharapkan anak yang soleh itu adalah satu pelaburan yang samar-samar dan hanya akan diketahui setelah mereka benar-benar dewasa, maka sedekah jariah itulah satu-satunya pelaburan yang menjadi hak kepada pemberi sepenuhnya dan tiada siapa dapat mengambilnya.


    Harta yang Allah berikan kepada kita ini bukannya satu kurniaan tetapi satu ujian samada dengan harta ini adakah kita bersyukur atau kita menjadi kufur. Seorang makhluk Allah yang bernama Qarun dikurniakan dengan harta yang banyak sehingga kunci gudangnya perlu diangkat oleh segolongan manusia yang perkasa dan itu baru kuncinya sahaja tetapi kekufurannya menyebabkannya ditelan bumi bersama-sama dengan hartanya.


    Makhluk Tuhan yang bernama Firaun pula diberikan kekuasaan yang meliputi bumi yang luas dan harta dari emas dan perak sehinggalah keranda kerabat-kerabatnya sahaja di buat 7 lapisan dan setiap lapisan dibuat daripada emas tulin tetapi malangnya dengan harta dan kekuasaan itu juga dia ditelan laut dan dipelihara mayatnya tanpa pereputan untuk tatapan dan pengajaran kepada kita.


    Kita semua percaya adanya Tuhan yang Maha Kuasa yang mentadbir alam, semua kita percaya Allah menentukan rezeki kepada kita tetapi berapa ramai yang yakin dengan janji Allah yang akan menggandakan rezeki kita apabila kita berbelanja dengan harta kita itu pada jalanNya.


    Saya apabila memberi ucapan sering merujuk kepada Surah Al Baqarah (2) ayat 261 yang saya yakin ramai tahu bahawa Allah menjanjikan 700 kali ganda ganjaran atas setiap satu yang kita belanjakan pada jalanNya. Tetapi berapa ramai yang mengambil serius tentang janji ini.


    Sekiranya kita lihat nama-nama hari akhirat, salah satu namanya yang diberikan adalah Hari Penyesalan, yang masuk ke neraka menyesal akan perbuatan mereka, yang masuk syurga pun menyesal, ahli syurga ini menyesal kerana melihatkan nikmat disediakan untuk mereka dan mereka menyesal kerana bersedekah dengan sedikit sedangkan jika mereka tahu sebenarnya ganjaran yang menunggu di syurga sudah semestinya mereka akan berbelanja kesemuanya.


    Persoalan di sini jika kita telah tahu apa yang dijanjikan dan kita tahu di dalam Surah Al Baqarah (2) ayat 80 di mana Allah berfirman “Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji”, kenapa mesti kita kedekut untuk berbelanja sedangkan kebaikan akan kembali kepada kita.


    Saya teringat kata-kata seorang waris yang mengatakan “YDP tak apalah ada banyak boleh keluar banyak-banyak. Apa yang saya faham dari kata-kata ini ialah saya ada duit tak apalah nak bagi banyak. Tapi duit dan harta ini adalah kurniaan Allah dan dimiliki hanya sementara dan dipegang semata-mata untuk kita salurkan kepada hamba-hambaNya yang lain dan bukan untuk diri kita sendiri. Rasullullah pernah ditanya berapa banyakkah dari harta yang kita ada perlu kita sedekah ? Baginda menjawab apabila ditolak keperluan maka yang selebihnya adalah untuk sedekah.


    Konsep sedekah dalam Islam tidak semestinya apabila seseorang memiliki harta yang banyak dan ganjaran pahala pula bukan berdasarkan berapa banyak yang dihulurkan tetapi berapa peratus yang dihulurkan dari pendapatan seseorang. Sekiranya pendapatan yang kecil tetapi sedekahnya besar maka besarlah peratusnya dan sekiranya sedekahnya kecil sedangkan pendapatanya besar maka kecillah peratus ganjaran yang diterima.


    Saya sebenarnya dalam melayari kehidupan ini semasa tahap persekolahan  pernah susah sehingga makan hanya sekali dalam sehari dan sebagai pelajar saya terpaksa berkasut koyak selama 6 bulan sebelum dapat membeli yang baru


    Sebenarnya rahsia kejayaan saya adalah keyakinan saya dengan janji Allah bahawa saya tidak akan miskin jika berbelanja keranaNya. Kita perlu faham Allah tidak memerlukan kepada harta yang ada pada kita kerana harta yang ada ditangan kita itu sendiri pun datang dariNya . Harta yang banyak boleh menyebabkan manusia tergelincir seperti mana manusia yang berkuasa dan berharta sebelum daripada kita.


    Harta yang banyak mampu memutikkan rasa bangga diri dan kemudian membuahkan rasa riak dan akhirnya lahirlah sifat ujub dan dosa inilah dosa yang pertama di dalam Al Quran dan yang terbesar.


    Di dalam Surah Al Baqarah (2) ayat 34 Allah berfirman Dan ketika kami berfirman kepada malaikat Tunduklah kepada Nabi Adam“ Lalu mereka sekeliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis ; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir”


    Dengan kita mengeluarkan sedikit harta kita dalam bentuk sedekah maka hati akan disucikan daripada sifat ini.


    Apabila harta ini disimpan dan terus disimpan akan sampai satu masa ia akan menjadi musuh kepada pemiliknya di akhirat kelak. Atas sebab itulah saya sanggup membelanjakan harta saya dan bukan sahaja di sekolah ini semata-mata tetapi di mana-mana sahaja tempat yang saya rasa memerlukan dan sedekah saya dapat membantu.



    APAKAH HARAPAN TUAN TERHADAP MUTU PENDIDIKAN DI SMKBSP DARI ASPEK :-

    1. AKADEMIK

    Dari aspek akademik saya berharap lebih ramai anak didik sekolah ini dilahirkan berjaya menjadi insan yang berguna kepada agama kepada keluarga dan akhirnya kepada Negara kerana pendidikan meliputi semuanya dan bukanlah setakat apa yang tertulis di slip keputusan peperiksaan


    1. SAHSIAH

    Mungkin pada suatu hari nanti semua warga SMKBSP termasuk guru dapat berblazer sebagai sebahagian daripada siasah diri dan sebagai sebahagian daripada pakaian seragam dan ini adalah satu penerampilan yang cukup menarik dan memberi semangat kepada pelajar untuk menjaga tingkah laku agar selari dengan penerampilan mereka.


    1. DISIPLIN

    Disiplin bermula dari rumah dan dikekalkan di sekolah. Saya berharap agar ibubapa dan waris memberi lebih perhatian kepada isu ini. Anak-anak kita hanya akan berada di sekolah sehinggalah ke Tingkatan 5 dan paling lama pun sehingga ke Tingkatan 6 tetapi dengan disiplin yang tinggi mereka akan meneruskan kehidupan dalam berpuluh-puluh tahun ke depan dengan berjaya.


    Seandainya isu disiplin ini tidak ditangani seawal Tingkatan 1 mereka akan menjadi liabiliti kepada sekolah dan akhirnya menjadi liabiliti kepada ibubapa setelah tamat tempoh persekolahan dan liabiliti ini pula akan berterusan bertahun lamanya seandainya mereka bergaul dengan golongan yang tidak baik.


    Saya berharap penerapan nilai agama lebih diutamakan kerana tiada yang lebih baik daripada terhasilnya insan pelajar yang berilmu yang mematuhi perintah Tuhan dan taat kepada kedua ibubapa


    1. KOMITMEN GURU

    Syabas , “ ALL OF YOU HAVE DONE A GREAT JOB SO FAR ”


    1. KOMITMEN WARIS

    Waris adalah penyokong terkuat PIBG dan haruslah difahami bahawa segala projek, segala aktiviti dan segala tindakan yang diambil oleh pentadbiran SMKBSP tidak lain daripada untuk kebaikan anak-anak kita. Mungkin pada pandangan waris cara yang digunakan tidak kena pada pandangan mereka sebagai ibubapa , tetapi pada sudut pendidik cara itu mendatangkan hasil. Saya percaya masa yang diluangkan oleh guru dengan anak-anak kita adalah lebih lama daripada masa yang kita sendiri luangkan dengan meraka.


    Dari itu cubalah sedaya mungkin untuk meluangkan sedikit masa bersama anak-anak kita kerana anak-anak yang tanpa perhatian daripada ibubapa maka mereka akan pergi mendapatkan perhatian daripada kawan-kawan yang mana kawan-kawan tersebut belum tentu dapat membimbing anak-anak ini dengan betul. Banyakkanlah bertanya kepada anak-anak ini tentang persekolahan mereka kerana pertanyaan-pertanyaan ini secara tidak lansung membuatkan mereka lebih berusaha kerana mereka tidak mahu manghampakan harapan ibubapa mereka.


    Haruslah ada keyakinan bahawa harapan guru-guru adalah sama seperti harapan kita ingin melihat anak-anak ini maju dan berjaya dalam meniti kehidupan yang amat-amat singkat ini. Jika kita ada kepercayaan dengan meninggalkan anak kita kepada guru-guru untuk dididik maka dengan sokongan yang kita sebagai ibubapa berikan dan dorongan yang kita curahkan kepada anak-anak kita saya percaya misi untuk melahirkan anak didik yang cemerlang secara keseluruhannya InsyaAllah akan berjaya.


    Dengan adanya perlaksanaan Sarana Ibubapa serta Sarana Sekolah maka saya mengalu-alukan ibubapa serta waris supaya datanglah ke SMKBSP sekiranya sebagai ibubapa kita merasa terdapat sesuatu yang tidak kena dengan anak kita dan jawapan yang anak-anak berikan tentang kerja sekolah, tentang kelewatan balik ke rumah dan tentang sering meminta wang atas alasan pelbagai bayaran yang kononnya diminta oleh SMKBSP atau apa saja yang berkaitan dengan kebajikan anak kita.


    Saya yakin pihak pentadbiran sekolah akan dengan senang hati melayani pertanyaan setiap waris dan pihak SMKBSP akan memberi jawapan yang lebih tepat berkaitan anak-anak kita dan saya percaya SMKBSP akan bersikap jujur dengan semua waris.


    KATA-KATA AKHIR YDP


    Akhir kata saya memohon berbanyak kemaafan sekiranya dalam tempoh saya berada di SMKBSP membuatkan sesiapa sahaja merasa tidak selesa dengan kehadiran saya dan merasa perkataan dan perbuatan saya menyinggung perasaan mereka.


    Yang baik semuanya datang dari Allah, dan yang tidak baik adalah atas kelemahan diri saya sendiri


    Sekian terima kasih


    WASSALA MUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATOOH


    Yang benar,


    Hj Yahaya Ahmad

    YDP, SMKBSP

    2013/2014

    Oops! This site has expired.

    If you are the site owner, please renew your premium subscription or contact support.