LAMAN WEB RASMI
SMK BANDAR SUNGAI PETANI

Nobody Fails !!

BERITA SEKOLAH

view:  full / summary

34 CIRI PELAJAR CEMERLANG

Posted by Admin on July 2, 2013 at 3:05 PM Comments comments (0)


Ciri-ciri Pelajar Cemerlang

Hj Yahaya Ahmad, YDP PIBG


 

1. Optimistik

Pelajar yang cemerlang sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan. Keyakinan ini akan memberi suntikan semangat dalaman pada diri anda sendiri. Katakan 'aku BOLEH!'


 

2. Jangan bersikap pesimistik

Pelajar cemerlang tidak bersikap pesimistik iaitu sentiasa putus harapan dan mengalah sebelum mula berjuang. Jangan lemahkan semangat anda sendiri.Jangan meramalkan kekalahan sebelum mula berperang. Kalau anda tidak mencuba maka kekalahan sebenarnya sudah pasti dalam tangan. Belum cubabelum tahu.


 

3. Kesedaran memikul tanggungjawab

Pelajar yang cemerlang mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama,bangsa, negara, keluarga dan masyarakat pada masa akan datang. Maruah keluarga, masyarakat dan negara pada masa akan datang bergantung pada generasi remaja masa kini. Pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang sedar hakikat ini. Pelajar yang menyedari hakikat ini sudah pasti akan berusaha lebih gigih agar matlamat tersebut tercapai.


 

4. Tumpuan sepenuh hati

Pelajar yang cemerlang memerikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru di kelas. Sikap main-main sambil belajar adalah sikap pelajar yang kurang berjaya. Pelajar yang suka bermain-main dalam kelas semasa guru mengajar adalah pelajar yang bakal menjadi orangyang dipermainkan oleh golongan 'terpelajar' pada suatu masa kelak. Malah lebih malang kalau suatu hari nanti mereka dipermainkan oleh golongan tidak terpelajar seperti mereka sendiri.


 

5. Mulakan dari awal

Pelajar yang cemerlang membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan yang sebenarnya. Persediaan awal akan membezakan pelajaryang berjaya dengan yang gagal. Persediaan awal ini termasuklah mengadakan ulangkaji, berbincang dengan rakan-rakan, meminta nasihat guru, meneliti buku-buku model jawapan dan sebagainya lagi. Jangan jadi'bidan terjun' ke dewan peperiksaan.


 

6. Sentiasa bersedia

Pelajar yang cemerlang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujianbulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaanyang sebenarnya). Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapi peperiksaan bila-bila masa sahaja. Bersediakah anda andainya peperiksaan diadakan esok? Pelajar cemerlang akan berkata 'Ya!'Kalau anda peminat 'The Rock' anda akan berkata 'Just bring it on..!'


 

7. Lengkapkan peralatan

Pelajar yang cemerlang menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas, dan sebagainya lagi. Semangat sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan. Kelengkapan yang tidak cukup akan menyusahkan pembelajaran dan mungkin memanaskan hati anda atau melemahkan semangat untuk terus belajar. Cuba bayangkan, anda ingin basuh tangan selepas makan tetapi tiada air. Tidakkah anda rasa 'bengang'?


 

8. Tepati waktu belajar

Pelajar yang cemerlang menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorangyang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar,maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.


 

9. Dapatkan bantuan guru

Pelajar yang cemerlang mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawansekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu.Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.


 

10. Hormati guru

Pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.


 

11. Bersoal jawab dengan guru

Pelajar yang cemerlang bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata 'carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal- jawab'.


 

12. Beri pandangan membina

Pelajar yang cemerlang sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut.Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.


 

13. Berbncang dengan rakan

Pelajar yang cemerlang sering berbincang dengan rakan-rakan tentangpelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelasperbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincanganakan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.


 

14. Siapkan tugasan yang diberi

Pelajar yang cemerlang menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru samaada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.


 

15. Tubuhkan kumpulan studi

Pelajar yang cemerlang mengadakan kumpulan perbincangan (study group)bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan. Tapi jangan tubuhkan kumpulan studi yangakhirnya menjadi kumpulan bersembang! Carilah rakan-rakan yang ragin dan gigih. Tinggalkan rakan-rakan yang hanya suka temberang.


 

16. Sering masuk perpustakaan Tun Sri Lanang

Pelajar yang cemerlang menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaanyang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi danmendapatkan buku-buku untuk dipinjam. Perpustakaan adalah gedung ilmu. Perpustakaan juga adalah tempat yang sangat sesuai untuk anda mentelaah pelajaran.


 

17. Baca akhbar

Pelajar yang cemerlang membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan. Secara khususnya ini merujuk kepada isu-isu am dan rencana ilmiah dan bukan ruangan gossip atau artis.


 

18. Menonton rancangan yang sesuai

Pelajar yang cemerlang menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi. Antara lain adalah rencana pengetahuan (seperti 'Discovery') dan berita semasa.


 

19. Lakukan peperiksaan kendiri

Pelajar yang cemerlang mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri)seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya.Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar. Melakukan peperiksaan kendiri samalah seperti masuk ke klinik. Anda akan diberi tahu tentang 'penyakit' anda (kelemahan-kelemahan anda). Selepas itu, pandai-pandailah cari ubatnya.


 

20. Sediakan jadual waktu

Pelajar yang cemerlang menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai danefektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.


 

21. Sertai ceramah motivasi

Pelajar yang cemerlang mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.


 

22. Sertai seminar peperiksaan

Pelajar yang cemerlang mengikuti seminar-seminar peperiksaan yangdiadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan.Sertainya seminar-seminar yang dikendalikan oleh orang yang pakar dalam bidang masing-masing. Selain daripada pengalaman, anda juga mungkin menerima pelbagai tips dan petua berguna.


 

23. Beli buku rujukan

Pelajar yang cemerlang membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, "Don't judge a book by its cover." Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.


 

24. Masuk kelas tuisyen

Pelajar yang cemerlang mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.


 

25. Lawatan ke pameran buku

Pelajar yang cemerlang mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan. Kalaupun anda tidak membeli, sekurang-kurangnya jiwa anda akan hampir pada buku dan ilmu. Jika anda selalu menziarah sumber ilmu,ilmu itu pula akan sering menziarahi anda. Kalau anda masuk ke kedaiminyak wangi, keharumannya akan terlekat juga. Kalau anda masuk kekandang najis... (fikirlah sendiri)

 

26. Sertai kokurikulum sekolah

Pelajar yang cemerlang menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pula akan melahirkan pemikiran yang lancar. Otak yang berkaratakan melahirkan pemikiran yang lembab.


 

27. Sanggup manghadapi cabaran

Pelajar yang cemerlang perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah. Rayuan kekasih atau buah hati juga kadangkala merupakan dugaan yang mahahebat. Pandai-pandailah membawa diri.


 

28. Jaga keselamatan diri

Pelajar yang cemerlang menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar.Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.


 

29. Jaga kesihatan fizikal

Pelajar yang cemerlang menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Makan makanan yang berzat. Kurangkan makanan ringan atau 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kuih-muih yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.


 

30. Makanan seimbang

Pelajar yang cemerlang menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.


 

31. Malu bertanya sesat jalan

Pelajar yang cemerlang tidak segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.


 

32. Sembahyang

Pelajar yang cemerlang menjaga sembahyangnya. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. 


 

33 .Doa

Pelajar yang cemerlang sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.


 

34. Tawakkal

Pelajar yang cemerlang berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.

 

NASYID - SOUTUL DA'IE CEMERLANG

Posted by Admin on June 1, 2013 at 8:15 AM Comments comments (0)

KUMPULAN NASYID SOUTUL DA’IE CEMERLANG DI TAHUN 2013



 





Kumpulan nasyid SMKBSP yang terdiri daripada 10 orang ahli iaitu Mohammad Sadeeq Bin Mohamed Subri dari 4A1 selaku ketua kumpulan dan juga suara utama, Mohamad Nazran Mohamad Zaim selaku penolong ketua kumpulan dan pemain alat muzik dan juga 5 orang penyanyi latar serta 2 orang lagi pemain alat muzik dan seorang ahli simpanan telah mencapai kejayaan cemerlang pada tahun ini dengan menjadi johan di Festival Nasyid KPM peringkat Zon Selatan KMY, seterusnya menjadi johan di peringkat Daerah KMY sekali gus mewakili KMY di festival yang sama peringkat Negeri Kedah di Langkawi dan telah menjadi naib johan di peringkat Negeri Kedah. Di pertandingan Program Pencarian Bintang Nasyid Mukmin Negeri Kedah mereka sekali lagi muncul Naib Johan dan yang paling membanggakan ialah Mohammad Sadeeq Bin Mohamed Subri telah dinobatkan sebagai solo terbaik di kejohanan tersebut. Di dalam pertandingan itu mereka telah memperolehi hadiah berupa wang tunai RM500-00 serta sijil dan piala. Sebagai menghargai kumpulan nasyid ini YDP iaitu Tn Hj Yahaya Ahmad telah menggandakan hadiah wang tunai itu menjadi RM1,000-00 dengan menggunakan wang peribadi beliau. Turut membanggakan warga SMKBSP apabila kumpulan ini dijemput untuk membuat persembahan di Festival Nasyid KPM peringkat kebangsaan sebagai kumpulan jemputan. Tahniah Soutul Da’ie.

 

Selamat Hari Guru 2013

Posted by Admin on May 31, 2013 at 11:55 AM Comments comments (0)

Sambutan Hari Guru




Majlis sambutan hari guru telah diadakan dengan meriahnya pada 16 Mei 2013. Para pelajar dan para guru berkumpul di Dataran Pahlawan. Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin. Seterusnya upacara rasmi iaitu nyanyian Lagu Negaraku dan bacaan doa. Majlis diteruskan dengan ucapan Penolong Kanan Pentadbiran dan juga ucapan YDP PIBG. Pada majlis tersebut, beberapa persembahan daripada pelajar dan penyerahan Kad Hari Guru kepada pihak pentadbir. Nyayian lagu ‘Kami Guru Malaysia’ telah dinyayikan oleh semua barisan guru SMKBSP sebagai penutup upacara majlis hari guru 2013. Sumbangan kek dan cabutan bertuah kepada setiap guru SMKBSP telah disumbangkan oleh YDP PIBG Tn. Hj. Yahaya b. Ahmad dan beberapa kek lagi disumbangkan oleh Bank Rakyat, Panitia Mata pelajaran dan juga Badan Pengawas.

 

Mesyuarat Agung PIBG 2013

Posted by Admin on May 31, 2013 at 11:50 AM Comments comments (0)

Mesyuarat Agung PIBG Sesi 2013/2014




Mesyuarat Agung PIBG kali ke-29 telah berjaya diadakan dengan jayanya. Majlis ini telah dirasmikan oleh YDP PIBG Tn. Hj Yahaya b. Ahmad. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh para waris dengan peningkatan kehadiran berbanding tahun 2012. Di dalam majlis ini telah dibincangkan tentang sarana sekolah dan juga sarana ibu bapa. Masalah disiplin anak-anak dan juga akademik menjadi fokus utama agenda mesyuarat. Sumbangsaran idea daripada para waris amat membantu pihak sekolah dalam mengurus hal murid dan juga membantu meningkatkan kejayaan-kejayaan sekolah. Sikap terbuka dan komited para waris dalam menjayakan dan memastikan objektif sekolah amat membanggakan pelbagai pihak khususnya pihak sekolah SMKBSP.

 

MAJLIS PEMUAFAKATAN 2013

Posted by Admin on May 31, 2013 at 11:40 AM Comments comments (0)

MAJLIS PEMUAFAKATAN WARIS, PDRM, PIBG DAN MASYARAKAT SETEMPAT 




Program ini bermatlamat mewujudkan kerjasama dan persefahaman antara pihak sekolah, PIBG, PDRM dan para waris pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin. Majlis dipengerusikan oleh Tuan Pengetua, Pn. Hjh. Hafsah bt. L. Hussin. Majlis turut dihadiri oleh Yang Dipertua PIBG, Tn. Hj. Yahaya b. Ahmad, Ahli Jawatankuasa PIBG dan 11 orang waris. Antara isu yang dibincangkan ialah cara menangani masalah disiplin pelajar yang kian meruncing, terutamanya ponteng kelas, ponteng sekolah dan pergaduhan. Semua waris yang hadir memberikan respon yang baik terhadap usaha pihak sekolah membendung gejala salah laku disiplin dalam kalangan pelajar. Unit Bimbingan dan Kaunseling turut memberikan pandangan berkaitan punca salah laku disiplin dalam kalangan pelajar yang rata-ratanya bertitik tolak daripada institusi kekeluargaan itu sendiri. Ibu bapa perlu memberikan perhatian dan kasih sayang terhadap anak-anak mereka. Hasil perbincangan semua pihak yang hadir, pihak waris akur dengan tindakan disiplin yang ditetapkan oleh pihak sekolah.

 

Merentas Desa 2013

Posted by Admin on May 30, 2013 at 7:55 PM Comments comments (0)

Kejohanan Merentas Desa






Kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah telah berlangsung dengan meriah. Kejohanan ini bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengah hari. Program tersebut merupakan salah satu daripada aktiviti tahunan sekolah yang melibatkan semua pelajar. Kejohanan tersebut dimulakan dengan aktiviti regangan dan ‘warm up’ oleh semua para pelajar. Satu taklimat ringkas telah disampaikan oleh En. Hamizi dan AJK kepada para peserta untuk memastikan kejohanan berjalan dengan lancar. Sebaik sahaja para guru yang bertugas di setiap cheackpoint mengambil tempat, para peserta dilepaskan mengikut kategori. Pelepasan peserta telah disempurnakan oleh YDP PIBG Tn. Hj. Yahaya b. Ahmad. Majlis berakhir dengan upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang.

 

Program Kelas Malam 2013

Posted by Admin on May 30, 2013 at 7:35 PM Comments comments (0)

Program Kelas Malam Unit Kaunseling (15, 16 & 31 Januari 2013)


Kecemerlangan akademik merupakan impian bagi setiap pelajar. Dengan pengalaman teknik belajar yang berkesan, pelajar dapat menggunakan tenaga dan masa yang minimum tetapi memberikan hasil yang maksimum. Oleh yang demikian, Program Kelas Malam Unit Kaunseling memfokuskan kepada objektif untuk melahirkan pelajar yang dapat menggunakan kemahiran-kemahiran dan teknik-teknik belajar yang betul dan berkesan. Tumpuan diberikan kepada pelajar-pelajar PMR, SPM dan STPM yang gagal dua atau tiga matapelajaran sahaja. Modul yang disediakan termasuklah modul pengurusan masa, peta minda, pemakanan yang baik untuk minda, motivasi dan lain-lain lagi. Interaksi dua hala antara kaunselor dan pelajar lebih meningkatkan kefahaman. Lebih menarik adalah dengan kehadiran ibu bapa pelajar yang berpeluang bersembang santai dengan Tuan Pengetua di foyer sekolah sambil menunggu anak-anak mereka habis kelas. Perbincangan antara ibu bapa dan Tuan Pengetua banyak membantu pihak sekolah meningkatkan lagi kecemerlangan pelajar di samping perkongsian ilmu dengan ibu bapa agar mereka dapat turut sama dalam usaha kecemerlangan anak-anak.

 

PIBG SMKBSP KE 2 TERBAIK

Posted by Admin on May 30, 2013 at 7:25 PM Comments comments (0)

PIBG SMKBSP Ke-2 Terbaik Daerah Kuala Muda Yan


 



Pada tahun 2012 ini buat julung kalinya telah diadakan pertandingan pengurusan PIBG di seluruh negara . PIBG Sekolah Menengah Bandar Sungai Petani juga tidak ketinggalan dengan menyertai pertandingan ini dan telah berjaya mendapat tempat ke-2 dalam pengurusan PIBG terbaik peringkat daerah Kuala Muda Yan. YDP PIBG SMKBSP Tn. Hj Yahaya Ahmad bersama-sama dengan setiausaha PIBG Pn Salina Hj Ahmad dan juga En. Saedon Ahmad telah mewakili PIBG sekolah menerima hadiah kemenangan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran iaitu Yang Berhormat Tuan Puad bin Zarkashi di Kelab Cinta Sayang Sungai Petani. Tempat pertama telah dimenangi oleh Sekolah Persendirian Sin Min Sungai Petani. Hasil daripada kejayaan ini YDP dan juga Pengetua SMKBSP Pn. Hajjah Hafsah L. Hussin telah dilantik menjadi jurulatih daerah bagi Sarana Ibubapa serta Sarana Sekolah bagi peringkat daerah Kuala Muda Yan.

 

Selamat Hari Guru 2012

Posted by Admin on May 30, 2013 at 6:40 PM Comments comments (0)

Sambutan Hari Guru






Majlis Sambutan Hari telah diadakan pada 16 Mei 2012 bertempat di SMK Bandar Sungai Petani. “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara” merupakan tema bagi perayaan Hari Guru pada tahun ini. Seawal jam 7.30 pagi , acara dimulakan dengan semua guru-guru berkumpul dan perarakan masuk guru ke tapak perhimpunan disertai dengan perbarisan tbik hormat oleh pelajar dari unit uniform Kadet Polis, Kadet Remaja Sekolah dan Kadet Koreksional diikuti dengan sesi bergambar semua guru. Jam 8 pagi menyaksikan semua guru dan pelajar Islam membaca Yasin di Surau Al-Muttaqin manakala guru dan pelajar bukan Islam mewarna kad gergasi.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu dan bacaan doa. Majlis disambung dengan ucapan daripada YDP PIBG dan ucapan Tuan Pengetua berserta dengan bacaan perutusan. Majlis diteruskan dengan bacaan ikrar yang telah diketuai oleh Encik Asrul Kusairy B. Ahmad. Seterusnya adalah persembahan Koir dari “Kumpulan Guru-Guru 1Malaysia” dengan nyanyian lagu kebanggaan semua pendidik iaitu “Kami Guru Malaysia”. Majlis diteruskan lagi dengan gimik persembahan pelajar iaitu daripada pasukan unit Beruniform Kadet Polis dan Kadet Remaja Sekolah.

Pada jam 9.30 pagi, semua guru dan pelajar berhenti rehat dan acara disambung semula pada jam 10.00 pagi. Antara acara lain yang dipertandingkan adalah isi air dalam botol, golek buah kelapa dan basikal lambat. Perlawanan bola jaring antara guru dan pelajar turut diadakan di mana pasukan guru-guru telah memenangi pertandingan ini. Kemeriahan jelas dirasai kerana guru-guru begitu bersemangat dan member kerjasama yang sangat baik sepanjang berlangsungnya acara. Jamuan sate serta kuih- muih kepada para guru telah ditaja oleh YDP PIBG Tn. Hj. Yahaya b. Ahmad.

 

Mesyuarat Agung PIBG 2012

Posted by Admin on May 30, 2013 at 5:55 PM Comments comments (0)

Mesyuarat Agung PIBG Sesi 2012/2013






Pada 12.02.2012, SMK Bandar Sungai Petani telah mengadakan Mesyuarat Agung PIBG edisi yang ke-28. Majlis ini telah dirasmikan oleh YDP PIBG, Tn. Hj. Yahaya b. Ahmad. Mesyuarat ini membincangkan segala permasalahan anak-anak selama mereka bersekolah di SMKBSP. Banyak idea yang dilontarkan demi untuk memastikan kecemerlangan berterusan di SMKBSP. Pada ucapan penangguhan YDP PIBG berharap pihak sekolah dan PIBG dapat melahirkan anak-anak SMKBSP yang berjaya. Oleh yang demikian sokongan dan moral daripada semua pihak adalah amat penting dalam menjayakan impian dan usaha ini kerana setiap di antara kita boleh menyumbang demi kemajuan anak-anak kita.

 


Rss_feed

Oops! This site has expired.

If you are the site owner, please renew your premium subscription or contact support.